Tel: 04-283 9493 / Mobile: 011-1638 9493

Kenali 4 Masalah Kesihatan Wanita Yang Selalu Terjadi, Orang Perempuan WAJIB Tahu Ini

Sebagai seorang wanita, tips kesihatan wanita daripada aspek dalaman dan luaran amatlah penting. Jangan sekadar mementingkan fizikal semata-mata sehingga mengabaikan kesihatan dalaman pula! Teruskan pembacaan untuk ketahui info kesihatan wanita dengan lebih lanjut.

Mengekalkan kesihatan dalaman wanita, terutamanya organ pembiakan pada tahap optimum adalah perkara yang mustahak.

Ini disebabkan, golongan wanita cenderung untuk mengalami jangkitan atau komplikasi berkaitan faraj dan organ di sekitarnya.

Maka, mempunyai ilmu dan kesedaran yang tinggi bukan sahaja dapat membantu kalian mengamalkan langkah-langkah penjagaan, malah mengurangkan risiko terkena penyakit yang tidak diingini.

Artikel ini bakal mengupas perihal komplikasi kesihatan yang sering menimpa kaum Hawa berserta gejala untuk dikenal pasti, jom baca!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

4 masalah kesihatan umum wanita yang sering berlaku
Info kesihatan wanita

Berikut adalah info kesihatan wanita berkaitan komplikasi yang sering terjadi berserta tips kesihatan wanita yang boleh diamalkan sebagai langkah pencegahan.

#1 Vaginosis bakteria

Faraj wanita dipenuhi oleh microorganisma atau flora yang hidup secara harmoni dan ia berfungsi sebagai satu benteng yang mencegah bakteria berbahaya daripada menakluki bahagian intim.

Vaginosis bakteria (BV) adalah jangkitan pada faraj yang berlaku apabila komposisi atau flora faraj berubah, lantas memicu pertumbuhan bakteria berlebihan dan berisiko mengakibatkan bau hanyir pada miss V.

Apabila dijangkiti BV, berlakunya peningkatan jumlah bakteria berbahaya dan penurunan bakteria baik.

Untuk makluman, BV adalah jangkitan faraj yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita yang telah berkahwin.

Justeru, apakah gejala-gejala jangkitan bakteria pada faraj yang boleh dikenal pasti?

Keputihan berwarna putih atau kelabu yang nipis
Rasa sakit atau gatal-gatal
Faraj berbau hanyir, terutamanya selepas melakukan hubungan seks
Sensasi terbakar semasa kencing
Kegatalan di bahagian luar faraj
Usah risau, BV tidak boleh disebarkan melalui perkongsian tempat duduk tandas, kolam renang, katil atau sentuhan.

#2 Jangkitan kulat

Yis adalah kulat yang hidup di dalam faraj dalam jumlah kecil dan jangkitan ini sangat biasa berlaku dalam kalangan kaum Hawa yang masih subur.

Jangkitan kulat pada kemaluan, juga dikenali sebagai kandidiasis yang melibatkan pembiakan sejenis kulat yang berlebihan. Ia turut dipanggil sebagai Candida Albicans (yis yang paling biasa ada pada manusia).

Walaupun jangkitan ini mungkin menjengkelkan atau mengganggu, namun ia biasanya tidak serius dan dengan rawatan bersesuaian, peluang untuk sembuh adalah tinggi.

Ketahui simptom-simptom jangkitan kulat pada faraj, merangkumi:

Keputihan kelihatan berair
Faraj terasa sakit
Ruam pada faraj
Keputihan umpama keju yang tidak berbau
Faraj dan vulva yang meradang, kemerahan dan gatal
Sensasi terbakar semasa kencing atau melakukan hubungan seks
Pun begitu, jangkitan kulat biasanya mampu hilang dengan cepat apabila penghidap memulakan rawatan.

Banyak pilihan rawatan di kaunter yang berkesan mengubati jangkitan dalam tempoh masa sehingga 7 hari.

#3 Penyakit radang pelvis

Penyakit radang pelvis (PID) adalah jangkitan pada satu atau lebih organ pembiakan, termasuk rahim, tiub fallopian dan ovari.

PID yang tidak dirawat boleh tersebar melalui organ pembiakan dan membawa kepada masalah-masalah tersebut:

Kehamilan ektopik
Parut di ovari, tiub fallopian dan rahim
Tubo-ovarian abscess (TOA)
Manakala, simptom PID boleh muncul berdasarkan daripada tahap yang sangat ringan, teruk ataupun tidak bergejala.

Berikut adalah antara gejalanya:

Sakit di bahagian bawah abdomen
Sakit semasa hubungan seks
Menggigil atau demam
Mual, muntah, atau cirit-birit
Hilang selera makan
Sakit belakang dan mungkin alami kesukaran berjalan
Kesakitan atau lebih kerap membuang air kecil
Sakit di bahagian abdomen atas di sebelah kanan
Keputihan bau busuk atau warna cecair faraj tidak normal

#4 Fibroid

Fibroid rahim atau istilah perubatannya leiomyoma merupakan ketumbuhan sama ada dalam bentuk tunggal atau berganda pada dinding otot rahim.

Ia juga adalah ketumbuhan bukan kanser yang terdiri daripada sel-sel otot dan tisu penyambung berserat (fibrous connective tissue).

[embed-health-tool-”ovulation”]

Antara 70% sehingga 80% wanita menghidapi ketumbuhan fibroid rahim pada saat mereka mencecah usia 50 tahun.

Malahan, wanita juga cenderung untuk mengalami lebih daripada satu jenis fibroid.

Kenal pasti tanda-tanda yang kerap menimpa wanita dengan ketumbuhan fibroid rahim, antaranya:

Sembelit
Pendarahan haid yang berat atau menyakitkan
Rasa sakit di bahagian perut
Sakit di bahagian bawah belakang badan
Kerap membuang air kecil
Kesakitan atau ketidakselesaan semasa bersenggama
Kalau mahu diikutkan, fibroid tak perlu dirawat jika tidak menimbulkan sebarang simptom.

Lama-kelamaan, ia mampu mengecut dan menghilang dengan sendiri tanpa bantuan rawatan, terutamanya selepas menopaus.

Sekiranya anda mempunyai simptom yang disebabkan oleh fibroid, ubat untuk melegakan gejala biasanya akan disarankan oleh doktor terlebih dahulu.

Sekiranya ubatan tersebut didapati tidak berkesan, pembedahan atau prosedur yang kurang invasif yang lain mungkin akan disyorkan.

Rawatan & langkah-langkah pencegahan
Info kesihatan wanita

Dengan info kesihatan wanita yang telah penulis kupaskan di atas, pasti pembaca tertanya-tanya, apakah rawatan dan pencegahan terbaik yang boleh dibuat, kan?

Jangan risau ya! Ini kerana, dua jenis pemeriksaan berikut adalah antara tips kesihatan wanita yang boleh kalian amalkan untuk mengesan sebarang kelainan berkaitan faraj.

#1 Pemeriksaan pelvis/faraj

Bagi tips kesihatan wanita yang pertama, pemeriksaan pelvis adalah ujian visual dan fizikal dijalankan oleh doktor terhadap organ pembiakan wanita.

Semasa pemeriksaan, doktor akan periksa faraj, serviks, tiub fallopion, vulva, ovari dan rahim.

Pemeriksaan ini mungkin perlu dilakukan dalam beberapa senario klinikal yang berbeza termasuk:

Sakit bahagian pelvis yang tidak dapat dijelaskan
Pendarahan faraj yang tidak teratur
Keputihan yang tidak normal
Sejarah keluarga yang menghidap kanser
Punyai kebimbangan mengenai kanser ovari, sista, penyakit kelamin dan masalah ginekologi lain
Ujian pelvis kebiasaannya merangkumi:

Pemeriksaan visual luaran: Doktor bakal periksa vulva anda, memeriksa sebarang kerengsaan, kemerahan, luka, bengkak atau kelainan lain

Pemeriksaan visual dalaman: Untuk memeriksa bahagian dalam faraj, doktor akan menggunakan spekulum untuk membuka dinding faraj dan melihatnya.

Ujian fizikal: Semasa pemeriksaan ini, doktor akan melihat ukuran dan bentuk rahim serta ovari, bertujuan untuk mengesan sebarang kawasan atau pertumbuhan yang abnormal. Selepas pemeriksaan faraj, doktor juga akan memasukkan jari ke dalam rektum untuk memeriksa sebarang ketumbuhan atau kelainan.

#2 Ujian Pap smear
ujian pap smear

Pap smear, juga disebut sebagai ujian Pap, adalah prosedur pemeriksaan untuk kanser serviks.

Semasa prosedur dilakukan, sel-sel serviks akan dikikis dengan lembut dan diperiksa untuk mengesan pertumbuhan yang tidak normal.

Menurut garis panduan terkini, para wanita disyorkan untuk menjalani ujian Pap setiap tiga tahun bermula pada usia 21 tahun.

Beberapa golongan wanita pula mungkin berisiko tinggi untuk terkena kanser atau jangkitan dan kalian mungkin memerlukan ujian yang lebih kerap sekiranya:

Positif HIV
Punyai sistem imun yang lemah akibat kemoterapi atau pemindahan organ
Sekiranya anda berusia lebih dari 30 tahun dan tidak pernah menjalani ujian Pap, tanyakan kepada doktor untuk melakukannya setiap 5 tahun sekiranya ujian tersebut digabungkan dengan pemeriksaan papillomavirus manusia (HPV).

Menjalani pemeriksaan di atas secara berkala boleh menjadi tips kesihatan wanita yang bagus untuk diamalkan.

Sekurang-kurangnya, sebarang kelainan atau ketumbuhan dapat dikesan pada peringkat awal.

Bila perlu anda temui doktor?
Info kesihatan wanita

Bagi jangkitan bakteria atau kulat faraj, sekiranya rawatan di kaunter ternyata tidak dapat membantu, anda disarankan untuk menemui doktor dengan kadar segera.

Penyakit radang pelvis juga tidak boleh dipandang enteng, jika anda mengalami simptom yang teruk, segera hubungi doktor atau pergi ke jabatan kecemasan.

Jangkitan mungkin sudah merebak ke aliran darah atau bahagian badan yang lain, dan kondisi ini boleh mengancam nyawa!

Untuk mereka yang mempunyai gejala fibroid rahim, jangan buang masa dan lakukan pemeriksaan dengan segera, sebelum ia bertambah parah.

Semoga info kesihatan wanita ini bermanfaat buat pembaca sekalian!

#IWD2022 #StandStrong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Whatsapp